Kerana agama itu tidak akan sampai kepada kita melainkan melalui generasi terdahulu dan dengan mengenali mereka. Tanpa mengenali mereka, maka kita pun tidak tahu dari siapa mahu kita mengambil agama. Dan agama yang benar, diambil pula dari golongan yang terbaik. Imam Ibnu Sirin rahimahullah berkata: "Ilmu adalah agama, maka lihatlah dari siapa kamu mengambil ilmu."

Friday, December 20, 2013

bid`ah



Soalan : Ustaz, apakah yang dimaksudkan dengan bid'ah yang sering diperbahaskan di facebook hingga menimbulkan perpecahan dikalangan umat Islam? Minta ustaz memberikan pencerahannya kerana saya menjadi keliru dengan perkara ini. Wassalam.

Jawapan :

Menurut As-Sheikh Imam Abu Amru Abdul Aziz bin As-Salam dalam penghujung kitabnya Al-Qawaid, beliau berkata:

"Bid'ah ini dibahagikan kepada wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Dan cara menentukannya ialah dengan merujuk kepada kaedah-kaedah syarak. Jika termasuk dalam kaedah yang mewajibkan jadilah wajib. Jika termasuk dalam kaedah yang mensunatkan jadilah sunat. Jika termasuk dalam kaedah yang mengharamkan jadilah haram. Jika termasuk dalam kaedah yang memakruhkan jadilah makruh dan jika termasuk dalam kaedah yang mengharuskan jadilah harus."

Contoh bid'ah wajib ialah meletakkan kaedah nahu dan sorof, membukukan Al- Quran, menyusun ilmu-ilmu seperti usuluddin, feqah dan sebagainya.

Contoh bid'ah sunat ialah mengadakan sekolah-sekolah dan madrasah-madrasah dan solat Terawikh berjemaah.

Contoh bid'ah makruh seperti menghiasi masjid dan mashaf.

Contoh bid'ah harus pula ialah bersalam-salaman selepas solat, membahagi-bahagikan makanan, minuman dan sebagainya.

Sesuatu yang tidak dilakukan oleh Raslullah SAW dan para sahabat bukanlah bererti tidak dianjurkan oleh syarak. Pendapat mengatakan bahawa perkara itu bid'ah adalah tidak tepat, dilihat kepada dua sudut iaitu pertama sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW tidak menunjukkan ia tidak dianjurkan oleh syarak atau tidak juga dilarang, maka ia dianggap harus selagi tidak ada dalil yang melarangnya dan kedua ialah pendapat yang mengatakan: "Kalaulah ia baik, sudah tentu ia dilakukan oleh orang yang lebih baik daripada kita" adalah pendapat seolah-olah syariat Islam adalah sesuatu yang jumud sedangkan Islam itu syumul.

Islam mampu menetapkan hukum pada setiap amalan atau peristiwa yang berlaku samada dalam muamalah atau sebahagian daripada ibadah yang tidak ditentukan oleh syariat iaitu dengan berpandukan kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang terdapat dalam syariat.

Di antara persoalan yang sering timbul ialah menghukum bid'ah ke atas persoalan khilafiah atau yang ditetapkan oleh hadis dhaif.

Jawapannya termasuk dalam kesalahan yang nyata menetapkan hukum bid'ah ke atas perkara yang para ulama tidak sekata mengenainya dari sudut sabit (wujud) atau tiadanya atau dari sudut kuat atau lemah dalilnya. Begitu juga pada perkara yang ditetapkan oleh hadis yang dianggap dhaif oleh para ulama hadis kerana dengan label tersebut, menyebabkan kita menghukum para sahabat dan generasi salafus soleh sebagai pembawa bid'ah kerana seorang mujtahid akan menganggap ijtihadnya lebih masyhur daripada ijtihad orang lain.

Sebagai contoh Saidatina Aisyah pernah berselisih pendapat dengan Ibn Abbas pada satu hukum yang telah ditetapkan oleh Ibn Abbas. Tidak timbul isu Aisyah membid'ahkan Ibn Abbas.

Demikian juga keadaannya pada perkara yang ditetapkan berpandukan hadis yang dhaif. Tidak boleh juga menghukumnya sebagai bid'ah kerana hukum memang sabit secara umum, tetapi lemahnya berlaku pada sanad hadis yang mungkin disebabkan kecacatan pada rawi atau pada matan hadis.

Kita jangan bersegera melabelkan seseorang itu dengan bid'ah dan sesat. Terdapat sesetengah golongan yang sampai ke peringkat melampaui batas sehingga berani mempertikaikan autoriti para ulama besar dan melemparkan tuduhan tersilap, bid'ah dan kurang mengkaji hadis-hadis Rasulullah SAW. Di antara ulama yang mereka pertikaikan ialah imam-imam mazhab yang empat. Sedangkan mereka telah pun diperakui oleh umat Islam kelayakan mereka untuk dijadikan ikutan.

Terdapat juga sebahagian yang lain mempertikaikan ulama lain yang mempunyai pendapat yang tidak sesuai dengan selera dan prinsip hidupnya walaupun mereka yakin bahawa mereka yang dipertikaikan itu benar dalam beberapa aspek yang lain seperti mempertikaikan pandangan Syafie dalam Qunut dan sebagainya.

Hadis dibawah menjelaskan bahawa membaca doa Qunut semasa solat Subuh adalah bukan bid'ah.

Dari Muhammad bin Sirin, bahawa ia berkata, “Aku berkata kepada Anas bin Malik r.a, “Apakah Rasulullah SAW. Qunut pada solat Subuh? ‘Ia menjawab, ‘Ya, sesaat setelah rukuk.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim ( I:468no.298)

Di dalam hadis yang lain : Dikatakan oleh Umar bin Ali Al Bahiliy, dikatakan oleh Khalid bin Yazid, dikatakan Abu Ja’far Ar-Razy, dari Ar-Rab i’ bin Anas berkata : Anas r.a ditanya tentang qunut Nabi SAW bahawa apakah betul baginda SAW berqunut sebulan, maka berkata Anas ra : Baginda SAW selalu terus berqunut hingga wafat, lalu mereka mengatakan maka Qunut Nabi SAW pada solat subuh selalu berkesinambungan hingga baginda SAW wafat, dan mereka yang meriwayatkan bahawa Qunut Nabi SAW hanya sebulan kemudian berhenti maka yang dimaksud adalah Qunut setiap solat untuk mendoakan kehancuran atas musuh-musuh, lalu (setelah sebulan) baginda SAW berhenti, namun Qunut di solat subuh terus berjalan hingga baginda SAW wafat.


Berkata Imam Nawawi : Mengenai Qunut subuh, Rasulullah SAW tidak meninggalkannya hingga baginda SAW wafat, demikian riwayat sahih dari Anas r.a. (Syarah Nawawi ala shahih Muslim)




Di antara perkara yang sering dikaitkan dengan bid'ah sedangkan perkara-perkara tersebut adalah perkara khilafiah (yang diperselisihkan oleh ulama) seperti tawasul , membuat majlis tahlil, membaca talkin semasa jenazah dikuburkan, menggerakkan atau mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat, berdoa selepas solat fardu, doa secara berjemaah, membaca Qunut dalam solat Subuh, berdoa dimalam Nisfu Syaaban, hukum berselawat selepas azan, memohon syafaat dengan Rasulullah SAW, azan pertama pada hari Jumaat, sunat Qabliyyah Jumaat, bilangan rakaat solat Terawikh, menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada mereka yang telah mati, perayaan Maulid Ar-Rasul dan sebagainya.

Terdapat segolongan pemuda (baru tamat belajar dari luar negara) yang melampau dalam meletakkan pengertian bid'ah sehingga menghukumkannya terhadap perkara-perkara kecil, kerana mengikut hawa nafsu atau kerana terpengaruh dengan manhaj (prinsip) jamaah tertentu yang menganggap bid'ah ialah sesuatu amalan yang baru diwujudkan dan tidak pemah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Mereka lupa atau sengaja melupai keluasan dan kesyumulan Islam yang sesuai pada setiap masa dan tempat, malah setiap sesuatu yang muncul samada yang berbentuk istilah atau peristiwa sehinggalah ke hari kiamat.

Kita sepatutnya mengetahui pengertian bid'ah yang sebenarnya. Kita jangan terlalu cepat menghukum sesuatu perkara itu bid'ah yang dholalah (yang sesat).

Bid'ah yang wajib diperangi ialah bid'ah dalam perkara akidah yang membawa kepada syirik seperti ajaran Syiah, ajaran-ajaran sesat, dan bid'ah saiyyiah (buruk). Dalam masa yang sama, kita pula jangan meringan-ringankan perkara bid'ah sehingga menokok tambah dalam perkara agama seperti mengambil hukum ciptaan manusia yang bertentangan dengan hukum-hukum Allah SWT.


Panduan dalam menentukan sesuatu itu bid'ah atau tidak ialah merujuk kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma', qiyas dan pandangan ulama-ualama muktabar. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment

bdk2 SAJOHA(Sains Johor) yg masuk JAD(Japanese associate Degree)

bdk2 SAJOHA(Sains Johor) yg masuk JAD(Japanese associate Degree)
mase robokon jad(sarhan,ciko,pian,bikai,pisang,aku)